Pages

Monday 29 February 2016

Jus nenas atau smoothies nenas

Entri : 7
Teks : Russuzi Binti Abdullah
Foto : Russuzi Binti Abdullah


Assalammualaikum

Menu berbuka puasa saya semalam. Khamis lepas saya sempat ke pasar tani dan membeli sebiji nenas. Hari sabtu dan ahad sibuk dengan majlis perkahwinan. Sabtu kerumah sepupu suami dan hari ahad pula ke majlis perkahwinan sepupu saya .

Semalam baru berkesempatan memasak nenas yang sudah masak ranum. Memandangkan saya berpuasa semalam , untuk anak-anak saya belikan nasi lemak ikan keli sebagai menu tengahari .

Untuk berbuka puasa saya masak udang masak lemak nenas , goreng ikan pekasam yang dibuat sendiri oleh abang saya dikampung .Dititip melalui anak saudara saya , sebalang besar ikan pekasamnya. Boleh disedekah kepada adik-beradik saya .

Paling istimewa semalam jus nenas atau smoothie nenas. Anak saya Sofiya yang membuatnya untuk saya . Aina Sofiya memang pakar air. Berbagai resepi jus pernah dihasilkan .

Resepi Jus Nenas atau smoothies nenas
Oleh Aina Sofiya
Resepi diambil dari buku Children's First Cook Book oleh Annabel Karmel.

Resepi asal :

125ml santan
300ml jus nenas
2 skop aiskrim vanilla
100 gm nenas

Masukkan semua didalam pengisar kecuali nenas . Bila dah siap hidangkan didalam gelas .

Resepi Sofiya

Nenas
Jus limau nipis
Santan beku
sedikit gula yang dicairkan
secubit garam

Kisar semua bahan , sedikit sukar kerana santan beku jadinya mengambil masa lebih lama .
Bila sudah siap boleh dihidangkan didalam gelas .

Saya tidak sejukkan kerana santan yang beku itu cukup menyejukkan jus. Memang sedap , saya minum 2 gelas. Mungkin selepas ini saya boleh cuba dari resepi yang sebenar. Nenas boleh juga digantikan dengan starwberi atau peach.

Selamat mencuba.


Sunday 28 February 2016

Mengobek pinang

Entri : 6

Teks: Russuzi Binti Abdullah

Assalammualaikum

Ibu kepada emak saya Esah Binti Etah . Berketurunan Bugis Johor . Panggilan untuknya cuma Atok , begitu juga dengan ayah kepada emak saya kami panggil Atok .Untuk membezakan keduanya dalam percakapan kami " Atok Tina" dan "Atok Jantan ''.

Selepas Atok Jantan meninggal atok tinggal dengan kami di kampung . Arwah abah seorang menantu yang baik, rajin melayan atok . Di kampung, atok juga ramai kenalan , waktu petang selalunya jiran tetangga rajin bertandang melawat atok.

Kalau tiada tetamu kami cucu-cucunya lah yang melayan Atok. Atok suka mengobek pinang . Gobek atok , gobek tembaga, atok beli semasa abah membawa atok melawat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang . Abah memang rajin membawa atok makan angin .

Mula-mula atok akan masukan gambir , tumbuk hinggga halus kemudian atok masukkan pinang yang sudah dikacip. Kemudian baru atok masukkan sirih yang sudah disapu kapur .

Sambil mengobek pinang atok akan bercerita , sambil tersenyum mengingat kisah lama. Ingat kisah-kisah ketika di zaman Jepun , di zaman komunis , hidup dengan hanya makan ubi kayu .

''Atok , nak gobek ?''

''Tak payah , engko gobek pinang halus benar , tak sedap .''

Itu jawapan atok kalau saya dan adik-adik suka sangat hendak bermain dengan gobek.
Teknik bergobek ini sambil menumbuk sambil pusingkan batang gobek , baru sekata tumbukannya .

Selepas kami balik dari sekolah selalunya atok menyuruh kami mencari pinang . Banyak pokok pinang diseliling rumah . Atok boleh pula memilih-milih mana pinang yang sedap. Kalau tidak didepan rumah atau ditepi atau disebelah perigi . Kadang-kadang boleh menglangkau ke rumah jiran untuk mencari pinang .

" Engko jangan ambil tepi pokok langsat tu , pening atok nanti ".

''Alah atok,  sama juga pinang. ''

''Jangan , tak bangun atok nanti. ''

Kenangan dengan atok memang susah dilupakan . Berbaju kurung Johor disembat halus jahitannya  , ditampal poket besar didada , kain disusun sendiri kemudian diikat menggunakan tali pinggang kain .

Sayu hati bila kenangan ini diimbau , sekarang sudah kurang warga emas bergobek , sudah kurang juga berkurung johor disembat , mungkin juga sudah tiada lagi kain baju kurung disusun sendiri dan diikat tali pinggang kain .

Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa atok , semoga dia ditempatkan dikalangan orang-orang beriman .Amiin.










Saturday 27 February 2016

Pengorbanan

Entri : 5
Teks : Russuzi Binti Abdullah
Foto : Russuzi Binti Abdullah

Assalammualaikum

Seusai temasya sukan anak-anak , saya menjemput kelima-limanya. Walaupun cuma lima orang dalam kereta tetapi suara masing-masing bercerita seolah-olah lebih 10 orang di kerreta. Sebagai ibu , saya hanya mendiamkan diri .Tidak menyampuk apa-apa , kadang-kadang saya tidak dapat memahami setiap butir kata pun. Bila keadaan reda baru saya minta ulang semula cerita seorang demi seorang . Saya beri peluang yang bongsu disusuli yang lainnya .



Bila suami keluar bekerja jauh , inilah pengorbanan saya dan anak-anak terpaksa tempuhi .
Dilubuk hati saya perasaan sedih memang ada , anak-anak bersukan tiada mama dan abah memberi sokongan tetapi tetap bersyukur kerana anak-anak yang besar boleh diharapkan .

Saya pula menghadirkan diri ke majlis dialog ibubapa untuk anak-anak yang bersekolah menengah . Dialog ini juga penting, untuk melihat perkembangan akademi anak-anak .Semetelah pula anak saya yang sulung akan menduduki peperiksaan PT3 pada tahun ini .

Muka gembira 


Ada ketika saya juga kesian dengan suami , tidak dapat hadirkan diri untuk melihat anak-anak membesar . Pengorbanan yang terpaksa dia tempuhi untuk mencari rezeki . Kami sama-sama berkorban , sama-sama menanggung rindu , sama-sama bersusah payah , sama-sama mendoakan masing-masing didalam lindunggan Allah .

Alhamdulillah , saya direzekikan anak-anak yang senang dididik walaupun tugas ini seolah-olah saya seorang mendidiknya. Tetapi , saya ada sokongan peribadi dari suami yang tiada tolok bandingnya .
Ya Allah engkau rezekikan kami anak-anak yang soleh dan solehah , rezekikan kami keluarga yang bahagia hingga ke jannah .Amiin.







Thursday 25 February 2016

Pengalaman membeli rumah

Entri : 4 
Teks : Russuzi Binti Abdullah 

Assalammualaikum 


Pengalaman membeli rumah pertama menjadi ilmu kepada saya dan suami untuk membeli rumah seterusnya . Rumah pertama kami , sebuah rumah pangsapuri kos rendah berharga RM42000.00. Rumah dibeli sebaik sahaja saya  mendirikan rumahtangga sekitar tahun 1999. Pada mulanya kami ditawarkan untuk rumah pangsapuri kos sederhana yang berharga RM98000.00.

Memandangkan kewangan kami belum stabil dan baru lagi berumahtangga kami membuat keputusan membeli sahaja rumah yang sedikit murah .

Saya membuat pinjaman dari syarikat tempat saya bekerja . 10% bayaran pendahuluan saya membuat keluaran dari akaun kedua KWSP . Waktu itu RM4200.00 terasa besar jumlahnya .

Pemohonan pinjaman lambat diluluskan disebabkan saya lambat menghantar borang . Jadinya bayaran untuk proses kedua pembinaan rumah, kami yang kena bayarkan .Kalau menunggu pinjaman nanti bertambah pula kos yang perlu kami bayar  .


Berbanding sekarang kebanyakan perkhidmatan peguam untuk pembelian rumah ditawarkan percuma.Ketika saya membeli rumah tersebut saya dikenakan kos perkhidmatan peguam dikedua-dua belah iaitu peguam pemaju dan peguam pinjaman .
Saat itu seakan serik hendak membeli rumah jika tiada tunai . Pinjaman bukan menanggung semua kos pembelian, kita sebagai pembeli setidak-tidaknya perlukan sedikit simpanan untuk kos-kos lain .

Alhamdulillah sekarang rumah tersebut sudah menjadi milik kami .Pinjaman pun saya sudah selesaikan sebaik selepas saya berhenti kerja. Lucunya selepas kami bersusah payah, sekali pun kami tidak pernah tinggal disitu .Rumah kecil kami terbiar hampir 3 tahun sebelum kami sewakan.

Berakit-rakit ke hulu , berenang-renang ke tepian ,
Bersakit-sakit dahulu , bersenang-senang kemudian .










Wednesday 24 February 2016

Menu untuk hari ini ,esok dan lusa

Entri 3- Menu untuk hari ini , esok dan lusa

Teks : Russuzi Binti Abdullah
Foto : Russuzi Binti Abdullah

Kurang dari sejam azan subuh berkumandang , pengera menjerit minta dimatikan .
Mandi dan bersiap -siap memulakan tugas dihari baru. Alhamdulillah syukur Ya Allah masih bernafas diberi kesihatan yang baik hari ini .

Kejutkan anak-anak , bersiap untuk bersolat subuh dan ke sekolah . Sebelum turun ke bawah siapkan Affan yang berumur 7 tahun .Dia akan ke sekolah agama.Kena butangkan baju Melayu kena pakaikan samping kena lipatkan sedikit lengan baju .Affan sangat teliti karakternya , semua perlu sempurna .

Turun bawah perlu pastikan masing-masing bawa bekal air masak , Sofiya bersekolah sessi petang dia ditugaskan mencuci kain baju dan mengampai kain baju .Kalau dia ada aktiviti perlu hadir sessi pagi , sayalah akan mengampai kain baju.

650 pagi saya akan memulakan perjalanan , pertama hantar Aina Wafi kemudian Aina Widad akhir sekali Ahmad Qaid dan Ahmad Affan . Sarapan selalunya roti disapu coklat atau kaya atau jem. Diminum bersama minuman coklat atau susu segar .Bijiran sarapan diminum bersama susu segar juga menjadi pilihan anak-anak sebelum ke sekolah .

Hari ini saya ke pasar , sabtu lepas saya tidak berkesempatan ke pasar tani , anak-anak saya ada acara merentas desa.Bila dua anak besar saya tiada dirumah memang saya sukar nak bergerak ,bimbang ditinggalkan 3 beradik  dirumah tanpa pengawasan. Setakat pergi menghantar dan mengambil kakak-kakak di sekolah tidak mengambil masa yang lama .

Saya beli ikan bawal seekor, udang bersaiz sederhana 24 ekor ,isi  ikan merah 2 ketul dan 6 ekor ikan selar . Secekak sayur bayam dan 6 batang bendi .

Menu saya hari ini ikan bawal dimasak kari cuma menggunakan 2 sudu santan  , udang disambalkan bersama petai . Udang saya cuma masak 12 ekor , kami ada 6 orang jadinya seorang 2 ekor udang .Petai saya gunakan petai yang saya bekukan .Ketika musim petai dan harga murah saya akan beli , selalunya saya hanya dapat titipan dari kampung . Samada dibeli atau diambil dari pokok sendiri .

Ikan selar saya akan masak esoknya iaitu hari Khamis.Saya akan masak asam rebus 3 ekor ,3 ekor lagi saya akan goreng atau dipanggang .Ikan selar sedap juga dibelah belakang dan dilumur garam dan kunyit diseluruh ikan dalam dan luar kemudian digoreng .Kalau rajin boleh juga ditumbuk cili besar ,bawang merah, bawang putih,dirasakan garam kemudian disumbat kedalam perut ikan selar dan digoreng .

Isi ikan merah pula saya akan buatkan sup ikan dicampur seleri dan cendawan.Atau boleh juga dijadikan nasi minyak ikan dihidang bersama sambal udang petai dan kerabu timun dan epal merah .Menu ini akan dimasak pada hari Jumaat ,sedikit istimewa dihari yang juga istimewa.

Selepas pulang dari pasar saya menyediakan omelet telur berdaun bayam.Telur dikocak bersama susu dan dicampur dengan daun bayam. Saya makan bersama Sofiya yang bersekolah sesi petang .

Saya selalunya akan berfikir semasa terpandang ikan-ikan dan sayur-sayuran di pasar .Sambil memandang keseluruh pasar  selalunya baru timbul menu saya untuk memasak .Kadang-kadang ada masakan yang sudah lama tidak dinikmati saya akan buat perancangan dari rumah . Ada ketika bila terpandang ikan dan sayur di pasar menu dari rumah akan hilang dan secara tiba-tiba timbul menu baru .Mungkin itu kelebihan suri rumah seperti saya .

Alhamdulillah syukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada hambamu ini , nikmat makan ,nikmat untuk membeli dan juga rezeki yang dikurniakan.









Monday 22 February 2016

Kekalkan persaudaraan

Entri 2 - Kekalkan persaudaraan

Teks: Russuzi Binti Abdullah

Foto : Russuzi Binti Abdullah

Bismillahhirahmanirahim

Assalammualaikum

Saya dibesarkan di Kampung Changkat Lobak Batu Kurau , sebuah kampung didalam mukim Batu Kurau dibawah Daerah Larut Matang dan Selama .Rumah saya sebuah rumah kampung dikeliling pokok buah-buahan.Ada manggis , langsat , duku , durian , pisang , jambu batu dan macam-macam pokok lagi .
Kami 13 beradik mempunyai sepokok langsat dan diberi nama masing-masing.Bila musim buah ,buah langsat dijual dan hasilnya dapatlah habuannya untuk kami.Itupun selepas ditolak dengan upah memetik buah.Saya juga dibesarkan dengan ulam-ulaman yang dikutip disekeliling rumah saya .Pucuk paku ,pucuk salang , pucuk betik , pucuk setang dan segala jenis ulam-ulaman lain.Ada yang ditanam, ada yang memang tumbuh sendiri.

Selepas kami adik beradik keluar dari rumah samada untuk bekerja atau keluar belajar ,pokok-pokok langsat kami seakan merajuk ,sudah kurang hasilnya. Sekarang rumah kami dibesarkan, didiami abang saya sekeluarga.Bentuk rumah sudah berubah , halaman sudah berubah ,pokok buah-buahan pun bukan macam ketika zaman kecil lagi.Banyak yang sudah ditebang demi keselamatan. Pokok yang sudah tua sudah kurang hasilnya.

Ketika dibangku sekolah rendah, mengutip durian , mengait buah manggis dengan galah buluh , menjolok buah langsat kemudian adik-adik saya menadah kain dibawah pokok memang tidak dapat dirasai oleh anak-anak saya .
 Sibuk dengan kerja , sibuk dengan persekolahan membuatkan anak-anak saya kurang nikmat merasai bermain dengan alam.Di waktu cuti sekolah kami sekeluarga akan melawat mentua saya di Terengganu .Itupun kalau diizinkan suami saya cutinya seiring dengan cuti persekolahan. Memandangkan mentua saya masih ada dikampung mereka diutamakan apabila tiba musim cuti , kampung di Batu Kurau kami sekadar singgah 2 atau 3 malam saja .
Hari raya Aidilfitri keutamaan juga di sebelah Terengganu , kami akan berkumpul di Batu Kurau pada hari raya ke3.Semua adik beradik saya pun begitu aturannya .

Walau abah dan emak kami sudah meninggal dunia tapi kami seboleh-bolehnya akan berkumpul beramai-ramai sekurang-kurang setahun 2 kali .Hari raya Aidil Fitri , Hari Raya Aidil Adha dan Kem cuti sekolah pada bulan Disember .
Kalau ada majlis bertunang atau perkahwinan lagi kerap kami berkumpul.Keluarga saya keluarga besar , anak saudara saya mencecah 50orang termasuk anak-anak saya. Ada juga sudah berkahwin dan mempunyai anak.Dikala umur saya 42 tahun saya sudah digelarkan Wan Suzi .Wan ini sama taraf dengan nenek , di Batu Kurau masih ramai mengunakan gelaran wan ini .

Nikmat berkumpul ini akan menjadi bualan anak-anak kami .Anak-anak saya pun akan bercerita segala aktiviti di kampung . Diulang-ulang cerita keseronokannya , kadang-kadang sudah ada perancangan aktiviti untuk lawatan akan datang . Disaat berkumpul inilah kami mengeratkan persaudaraan kami sesama adik beradik .

Air yang dicincang takkan putus, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua......
Berselisih pendapat sesama kami tidak dapat memutuskan tali persaudaraan sedarah sedaging kami tetapi menguatkan lagi persaudaraan kami . Paling penting bertolak ansur , saling bantu membantu , ikhlas , sayang menyanyangi , rindu merindu .....Ya Allah kau rezekikan kami persaudaraan hingga ke jannah ....amiin

Ar malik , Ar Qudus

Maha menguasai , maha suci






Sunday 21 February 2016

Pengenalan Diri

Entri 1 : Pengenalan Diri

TEKS  : Russuzi Binti Abdullah

FOTO  : Russuzi Binti Abdullah





Bismillahirahmanirahim

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah akhirnya terbina juga blog saya selepas mendaftar diri ke Akademi Berkerja Dari Rumah . Selepas mendaftar banyak juga yang perlu saya pelajari .Saya diibaratkan orang lama , asal boleh menggunakan talian untuk bercakap dan menghantar applikasi Whashap alhamdulillah .

Sebaik saya membuat bayaran dan saya menerima ebook dari Cikgu Anys Idayu saya macam dikejutkan dari mimpi. Talian wifi saya sekejap 'on' sekejap 'off'' , talian 3G saya juga sangat terhad. Saya baru tersedar , talian saya setakat 1gigabait sedangkan anak-anak saudara saya yang masih muda belia sudah menggunakan 5Gig.

Memang diketawakan tetapi kena akui saya orang lama , tiada kepentingan kalau tiada talian duduk diam-diam sampai talian pulih. Sangat penyabar , itulah manusia yang sudah matang .Usia saya pun sudah lebih dari separuh umur , Imam Shafie disaat umurnya menginjak umur saya berjalan menggunakan tongkat untuk mengingatkan dirinya sudah hampir kepada kematian.

Nama penuh saya Russuzi Binti Abdullah , berusia 42 tahun .Dikurniakan 5 cahayamata , 3 puteri dan 2 putera. Saya anak ke9 dari 13 adik beradik .Saya kehilangan ayahanda saya ketika berumur 13 tahun. Kehilangan Bonda saya pula ketika saya masih didalam pantang anak ke 4.Sekarang anak ke4 sudah berusia 9 tahun.

 Setahun selepas bonda saya meninggal saya memohon Skim Berhenti Kerja VSS ketika umur saya 34tahun. Permohonan pertama ditolak sebab alasannya saya tidak cukup kuat untuk HR luluskan. Saya hantar permohonan kedua dengan tulisan yang panjang dan  penuh emosi dan simpati.

HAHAHA dengan pengalaman sebagai Juruteknik selama 13tahun saya sudah hilang bahasa sastera dan skill menulis cerita .Tulisan saya penuh dengan fakta , satu titik, tidak lagi menjadi tertarik bila dibaca. Bahasa teknikal , apa yang menarik mengenainya kecuali untuk sesiapa yang faham sahaja.

Akhirnya permohonan saya diterima , memang sedih tinggalkan kawan-kawan sampai ketua saya seakan merajuk , email dihantar kepada saya penuh rasa kecewa. Bagi saya rezeki saya bukan ditempat itu lagi , anak-anak saya lebih perlukan saya .
Suami saya juga , tetapi sayang bukan bonda saya. Sebelum bonda saya meninggal dan terlantar sakit selama 6 bulan saya bercuti tanpa gaji selama 4 bulan.Saya menetap dikampung , mujur juga anak sulung saya masih ditadika.

Biarlah masa yang sedikit itu akan saya kenang menjaga bonda saya .Bonda yang hilangnya, seakan sunyi dunia , tiada lagi kedengaran kicauan burung , tiada lagi bau haruman bunga , tiada lagi penyeri rumahtangga. Salah satu sebab saya berhenti, adalah kerana alasan ini .

Pengalaman berniaga, dari umur 8 tahun saya menolong bonda meniaga kedai runcit , jual nasi lemak ,cakar ayam dan mengambil upah jahit baju kurung.Walaupun tidak secara langsung , setakat menolong tapi berniaga itu memang sudah ditanam dari diri saya .

Sampai ke sekolah di kampung dan sekolah vokasional saya memang berniaga. Di Vokasional saya mengambil kursus Bakeri Dan Konfeksioneri , salah satu subjeknya Perniagaan dan Keusahawanan. Sampai ke alam perkerjaan saya masih berniaga.Pernah ditipu , pernah juga tidak pulang modal tapi saya tetap suka berniaga.Saya seorang yang tidak kisah mengenai untung , tetapi selalunya saya tidak pernah rugi .

Saya menunaikan umrah pada DEC 2015 , dan tahun 2016 disambut dengan penuh serba tak kena. Suami saya dialam pekerjaan ''oil and gas'' , memang rasa tertekan. Saya makin dekat dengan Allah , ujian sedikit dariNya supaya jangan lupa setiap nikmat yang diberi.

Mungkin juga petunjuk dari Allah supaya saya mula belajar memulakan perniagaan.Dengan anak-anak 5 orang masih dibangku sekolah memang sukar untuk saya pergi kekelas-kelas baik hari persekolahan atau hari cuti hujung minggu . Jadual anak-anak padat dengan aktiviti sekolah .Tugas saya pula mengambil menghantar , siapkan makanan dan kerja-kerja lain sebagai surirumah .
Suami saya memang tiada dirumah , dia akan kelaut selama 2 bulan dan permulaan 2016 akan berada dilaut selama 4 bulan.Demi rezeki ,kami redha dan pasrah , hanya Allah yang tahu perasaan kami sekeluarga.

Semoga dengan menjadi sebahagian dari keluarga Akademi Berkerja Dari Rumah ( ABDR) saya diberikan rezeki didalam perniagaan dan mendapat ilmu selok belok memulakan perniagaan .

Ar-rahman , Ar rahim
Maha pengasih ,maha ppenyayang