Pages

Monday 22 February 2016

Kekalkan persaudaraan

Entri 2 - Kekalkan persaudaraan

Teks: Russuzi Binti Abdullah

Foto : Russuzi Binti Abdullah

Bismillahhirahmanirahim

Assalammualaikum

Saya dibesarkan di Kampung Changkat Lobak Batu Kurau , sebuah kampung didalam mukim Batu Kurau dibawah Daerah Larut Matang dan Selama .Rumah saya sebuah rumah kampung dikeliling pokok buah-buahan.Ada manggis , langsat , duku , durian , pisang , jambu batu dan macam-macam pokok lagi .
Kami 13 beradik mempunyai sepokok langsat dan diberi nama masing-masing.Bila musim buah ,buah langsat dijual dan hasilnya dapatlah habuannya untuk kami.Itupun selepas ditolak dengan upah memetik buah.Saya juga dibesarkan dengan ulam-ulaman yang dikutip disekeliling rumah saya .Pucuk paku ,pucuk salang , pucuk betik , pucuk setang dan segala jenis ulam-ulaman lain.Ada yang ditanam, ada yang memang tumbuh sendiri.

Selepas kami adik beradik keluar dari rumah samada untuk bekerja atau keluar belajar ,pokok-pokok langsat kami seakan merajuk ,sudah kurang hasilnya. Sekarang rumah kami dibesarkan, didiami abang saya sekeluarga.Bentuk rumah sudah berubah , halaman sudah berubah ,pokok buah-buahan pun bukan macam ketika zaman kecil lagi.Banyak yang sudah ditebang demi keselamatan. Pokok yang sudah tua sudah kurang hasilnya.

Ketika dibangku sekolah rendah, mengutip durian , mengait buah manggis dengan galah buluh , menjolok buah langsat kemudian adik-adik saya menadah kain dibawah pokok memang tidak dapat dirasai oleh anak-anak saya .
 Sibuk dengan kerja , sibuk dengan persekolahan membuatkan anak-anak saya kurang nikmat merasai bermain dengan alam.Di waktu cuti sekolah kami sekeluarga akan melawat mentua saya di Terengganu .Itupun kalau diizinkan suami saya cutinya seiring dengan cuti persekolahan. Memandangkan mentua saya masih ada dikampung mereka diutamakan apabila tiba musim cuti , kampung di Batu Kurau kami sekadar singgah 2 atau 3 malam saja .
Hari raya Aidilfitri keutamaan juga di sebelah Terengganu , kami akan berkumpul di Batu Kurau pada hari raya ke3.Semua adik beradik saya pun begitu aturannya .

Walau abah dan emak kami sudah meninggal dunia tapi kami seboleh-bolehnya akan berkumpul beramai-ramai sekurang-kurang setahun 2 kali .Hari raya Aidil Fitri , Hari Raya Aidil Adha dan Kem cuti sekolah pada bulan Disember .
Kalau ada majlis bertunang atau perkahwinan lagi kerap kami berkumpul.Keluarga saya keluarga besar , anak saudara saya mencecah 50orang termasuk anak-anak saya. Ada juga sudah berkahwin dan mempunyai anak.Dikala umur saya 42 tahun saya sudah digelarkan Wan Suzi .Wan ini sama taraf dengan nenek , di Batu Kurau masih ramai mengunakan gelaran wan ini .

Nikmat berkumpul ini akan menjadi bualan anak-anak kami .Anak-anak saya pun akan bercerita segala aktiviti di kampung . Diulang-ulang cerita keseronokannya , kadang-kadang sudah ada perancangan aktiviti untuk lawatan akan datang . Disaat berkumpul inilah kami mengeratkan persaudaraan kami sesama adik beradik .

Air yang dicincang takkan putus, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua......
Berselisih pendapat sesama kami tidak dapat memutuskan tali persaudaraan sedarah sedaging kami tetapi menguatkan lagi persaudaraan kami . Paling penting bertolak ansur , saling bantu membantu , ikhlas , sayang menyanyangi , rindu merindu .....Ya Allah kau rezekikan kami persaudaraan hingga ke jannah ....amiin

Ar malik , Ar Qudus

Maha menguasai , maha suci






No comments:

Post a Comment