Pages

Wednesday 24 February 2016

Menu untuk hari ini ,esok dan lusa

Entri 3- Menu untuk hari ini , esok dan lusa

Teks : Russuzi Binti Abdullah
Foto : Russuzi Binti Abdullah

Kurang dari sejam azan subuh berkumandang , pengera menjerit minta dimatikan .
Mandi dan bersiap -siap memulakan tugas dihari baru. Alhamdulillah syukur Ya Allah masih bernafas diberi kesihatan yang baik hari ini .

Kejutkan anak-anak , bersiap untuk bersolat subuh dan ke sekolah . Sebelum turun ke bawah siapkan Affan yang berumur 7 tahun .Dia akan ke sekolah agama.Kena butangkan baju Melayu kena pakaikan samping kena lipatkan sedikit lengan baju .Affan sangat teliti karakternya , semua perlu sempurna .

Turun bawah perlu pastikan masing-masing bawa bekal air masak , Sofiya bersekolah sessi petang dia ditugaskan mencuci kain baju dan mengampai kain baju .Kalau dia ada aktiviti perlu hadir sessi pagi , sayalah akan mengampai kain baju.

650 pagi saya akan memulakan perjalanan , pertama hantar Aina Wafi kemudian Aina Widad akhir sekali Ahmad Qaid dan Ahmad Affan . Sarapan selalunya roti disapu coklat atau kaya atau jem. Diminum bersama minuman coklat atau susu segar .Bijiran sarapan diminum bersama susu segar juga menjadi pilihan anak-anak sebelum ke sekolah .

Hari ini saya ke pasar , sabtu lepas saya tidak berkesempatan ke pasar tani , anak-anak saya ada acara merentas desa.Bila dua anak besar saya tiada dirumah memang saya sukar nak bergerak ,bimbang ditinggalkan 3 beradik  dirumah tanpa pengawasan. Setakat pergi menghantar dan mengambil kakak-kakak di sekolah tidak mengambil masa yang lama .

Saya beli ikan bawal seekor, udang bersaiz sederhana 24 ekor ,isi  ikan merah 2 ketul dan 6 ekor ikan selar . Secekak sayur bayam dan 6 batang bendi .

Menu saya hari ini ikan bawal dimasak kari cuma menggunakan 2 sudu santan  , udang disambalkan bersama petai . Udang saya cuma masak 12 ekor , kami ada 6 orang jadinya seorang 2 ekor udang .Petai saya gunakan petai yang saya bekukan .Ketika musim petai dan harga murah saya akan beli , selalunya saya hanya dapat titipan dari kampung . Samada dibeli atau diambil dari pokok sendiri .

Ikan selar saya akan masak esoknya iaitu hari Khamis.Saya akan masak asam rebus 3 ekor ,3 ekor lagi saya akan goreng atau dipanggang .Ikan selar sedap juga dibelah belakang dan dilumur garam dan kunyit diseluruh ikan dalam dan luar kemudian digoreng .Kalau rajin boleh juga ditumbuk cili besar ,bawang merah, bawang putih,dirasakan garam kemudian disumbat kedalam perut ikan selar dan digoreng .

Isi ikan merah pula saya akan buatkan sup ikan dicampur seleri dan cendawan.Atau boleh juga dijadikan nasi minyak ikan dihidang bersama sambal udang petai dan kerabu timun dan epal merah .Menu ini akan dimasak pada hari Jumaat ,sedikit istimewa dihari yang juga istimewa.

Selepas pulang dari pasar saya menyediakan omelet telur berdaun bayam.Telur dikocak bersama susu dan dicampur dengan daun bayam. Saya makan bersama Sofiya yang bersekolah sesi petang .

Saya selalunya akan berfikir semasa terpandang ikan-ikan dan sayur-sayuran di pasar .Sambil memandang keseluruh pasar  selalunya baru timbul menu saya untuk memasak .Kadang-kadang ada masakan yang sudah lama tidak dinikmati saya akan buat perancangan dari rumah . Ada ketika bila terpandang ikan dan sayur di pasar menu dari rumah akan hilang dan secara tiba-tiba timbul menu baru .Mungkin itu kelebihan suri rumah seperti saya .

Alhamdulillah syukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada hambamu ini , nikmat makan ,nikmat untuk membeli dan juga rezeki yang dikurniakan.









No comments:

Post a Comment