Pages

Showing posts with label Catatan pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan pengalaman. Show all posts

Tuesday, 22 March 2016

Boboiboy The Movie 2016


Sudah menonton Boboiboy The Movie ? Saya dan anak-anak menonton pada hari ahad minggu pertama cuti sekolah .Beli tiket dalam talian GSC . Ini pertama kali juga saya menonton di GSC IOI City Mall Putrajaya . Dari rumah saya mengambil masa hanya 10 minit sahaja .Tetapi kami pergi awal memandangkan musim cuti sekolah dah hari ahad pula .

Bila sampai di panggung GSC memang ramai sangat tengah beratur . Saya pun sama-sama beratur , dan tak tahu apa motif saya beratur di barisan yang panjang . Hehehe.....
Kemudian saya bertanya seorang gadis Cina , dia kata dia nak membeli tiket . Ohh ok , saya dah ada tiket , baru tahu barisan yang panjang ini rupanya tengah membeli tiket . 

Anak-anak saya pula kata  ''mama, kita tunggu hall buka .Boboiboy belum buka lagi gatenya ''.Macam nak naik kapal terbang pula kena tunggu buka Gate .
3-4 tahun yang lepas kalau tiket dibeli atas talian kita tidak perlu lagi beratur untuk masuk ke Hall tetapi sekarang orang yang mempunyai tiket tidak perlu beratur , yang membeli atas talian yang perlu beratur.



Sebelum masuk ke panggung saya kononnya nak lah bergambar dengan poster Boboiboy . Sekali punya ramai manusia poster apa pun tak kelihatan .Kecewa juga , tapi janji boleh menonton .
Keseluruhan movie memang terbaik. Karakter-karakter pun memang terbaik Kikita , Klamkabut, Borara ,banyak lagilah nama yang boleh buat kita gelihati . Saya sebenarnya susah nak memahami cerita ini sebab saya memang jarang menonton .Anak-anak lelaki saya saja yang memang layan cerita ini .Dalam panggung saya sedikit mengantuk , rasa nak terlelap. Hehehe ...Tetapi ada juga slot-slot yang saya ketawa besar tapi anak-anak dalam panggung tak ketawa pun . Contohnya mencadat sotong dan keluarnya lagi Cinta Kenangan Silam , saya memang dah terbahak-bahak dengan ibubapa dalam panggung . Lagu penuh dengan kenangan zaman remaja ....




Bila dah habis cerita kumpulan Boboiboy team masuk kedalam panggung .Jadinya dapatlah anak-anak saya bergambar bersama karakter. Kami juga menynyikan lagu Untuk Boboiboy sempena ulangyahun yang ketiga . Sampai kehari hari anak-anak saya masih bercerita cerita Boboiboy dan hari-hari melukis karakter didalam movie ini .
Tahniah kepada team Boboiboy The Movie .

Sunday, 6 March 2016

Malang tak berbau

Entri : 9
Teks : Russuzi binti Abdullah

1245 tengahari saya keluar dari kawasan sekolah masuk ke jalan besar dan akan melalui bulatan . Sedang beratur untuk masuk ke bulatan tiba-tiba ada 3 biji berdesup laju disisi kereta saya .

Sempat lagi mulut membebel '' lajunya budak-budak ni bawa motor ". Geram, marah sebab masing-masing masih dibangku sekolah . Tetiba boom, kuat sangat bunyi , pandangan saya jadi hitam seketika.

Saya keluar juga kereta , remuk kereta saya . Anak-anak saya pun mengigil ketakutan . Bila tengok keadaan kereta sempat lagi membebel ,  "kenapalah laju sangat korang bawa ". Dalam hati saya terlintas ''dah macam mak nenek aku ".

Sebenarnya saya panik, rasa nak marah dengan yang melanggar kereta saya tapi dia anak muda yang tengah mengaduh sakit . Kesian pula , muda lagi , masih dibangku sekolah .

Ini pengalaman ketiga saya dilanggar . Dan kali ini paling teruk.Alhamdulillah kami semua selamat .
Penunggang motosikal pun selamat , risau juga kalau teruk kecederaannya .

Sebab ini kali ketiga saya memang ada pengalaman membuat laporan di balai polis . Saya bawa balik kereta saya dengan cermin yang pecah . Memang ada geng trak penunda tapi saya kata saya baik . Selesai hantar anak-anak kesekolah sessi petang , solat kemudian saya ke balai polis . Mujur juga ada 2 biji kereta.

Kali pertama kemalangan saya ada sebiji sahaja kereta.Saya pula berulang alik dari Bangi ke Kuala Lumpur . Mujur makcik suami saya pinjamkan kereta . Syukur alhamdulillah .

Laporan kemalangan boleh sahaja dibuat dimana-mana balai polis tetapi masih kena ke Bahagian Traffik untuk mengambil gambar sebagai bukti . Sebelum ke balai polis kena pastikan membawa kad pengenalan dan lesen memandu . Saya juga membawa insuran kereta dan cukai jalan untuk persediaan kalau-kalau diminta .

Selesai membuat laporan kita akan diminta berjumpa dengan pegawai atasan . Lukis lakaran bagaimana kemalangan terjadi . Siasatan dibuat jika didapati salah kita , maka kita akan disaman .
Selesai proses kedua ambil surat dan tunggu dikereta untuk diambil gambar . Selesai sudah laporan kita kepada pihak berkuasa .

Memandangkan sudah kali ketiga saya dilangar , saya akan menghantar ke bengkel membaiki kereta ditempat yang saya pergi sebelum ini . Pihak bengkel yang akan semua urusan tuntutan insuran saya.
Sekarang kereta sudah tersadai di bengkel untuk dibaiki dan dibuat tuntutan insuran . Semoga Allah permudahkan segala urusan .

Semua urusan dengan polis , trak penunda , pihak ketiga dan bengkel , kali ini semua saya uruskan sendiri . Kesana sini membawa kereta yang kemek dan pecah cermin belakangnya . Alhamdulillah saya redha, Allah sayangkan saya sebab itu saya diuji disaat suami tiada disisi.



Sunday, 28 February 2016

Mengobek pinang

Entri : 6

Teks: Russuzi Binti Abdullah

Assalammualaikum

Ibu kepada emak saya Esah Binti Etah . Berketurunan Bugis Johor . Panggilan untuknya cuma Atok , begitu juga dengan ayah kepada emak saya kami panggil Atok .Untuk membezakan keduanya dalam percakapan kami " Atok Tina" dan "Atok Jantan ''.

Selepas Atok Jantan meninggal atok tinggal dengan kami di kampung . Arwah abah seorang menantu yang baik, rajin melayan atok . Di kampung, atok juga ramai kenalan , waktu petang selalunya jiran tetangga rajin bertandang melawat atok.

Kalau tiada tetamu kami cucu-cucunya lah yang melayan Atok. Atok suka mengobek pinang . Gobek atok , gobek tembaga, atok beli semasa abah membawa atok melawat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang . Abah memang rajin membawa atok makan angin .

Mula-mula atok akan masukan gambir , tumbuk hinggga halus kemudian atok masukkan pinang yang sudah dikacip. Kemudian baru atok masukkan sirih yang sudah disapu kapur .

Sambil mengobek pinang atok akan bercerita , sambil tersenyum mengingat kisah lama. Ingat kisah-kisah ketika di zaman Jepun , di zaman komunis , hidup dengan hanya makan ubi kayu .

''Atok , nak gobek ?''

''Tak payah , engko gobek pinang halus benar , tak sedap .''

Itu jawapan atok kalau saya dan adik-adik suka sangat hendak bermain dengan gobek.
Teknik bergobek ini sambil menumbuk sambil pusingkan batang gobek , baru sekata tumbukannya .

Selepas kami balik dari sekolah selalunya atok menyuruh kami mencari pinang . Banyak pokok pinang diseliling rumah . Atok boleh pula memilih-milih mana pinang yang sedap. Kalau tidak didepan rumah atau ditepi atau disebelah perigi . Kadang-kadang boleh menglangkau ke rumah jiran untuk mencari pinang .

" Engko jangan ambil tepi pokok langsat tu , pening atok nanti ".

''Alah atok,  sama juga pinang. ''

''Jangan , tak bangun atok nanti. ''

Kenangan dengan atok memang susah dilupakan . Berbaju kurung Johor disembat halus jahitannya  , ditampal poket besar didada , kain disusun sendiri kemudian diikat menggunakan tali pinggang kain .

Sayu hati bila kenangan ini diimbau , sekarang sudah kurang warga emas bergobek , sudah kurang juga berkurung johor disembat , mungkin juga sudah tiada lagi kain baju kurung disusun sendiri dan diikat tali pinggang kain .

Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa atok , semoga dia ditempatkan dikalangan orang-orang beriman .Amiin.










Thursday, 25 February 2016

Pengalaman membeli rumah

Entri : 4 
Teks : Russuzi Binti Abdullah 

Assalammualaikum 


Pengalaman membeli rumah pertama menjadi ilmu kepada saya dan suami untuk membeli rumah seterusnya . Rumah pertama kami , sebuah rumah pangsapuri kos rendah berharga RM42000.00. Rumah dibeli sebaik sahaja saya  mendirikan rumahtangga sekitar tahun 1999. Pada mulanya kami ditawarkan untuk rumah pangsapuri kos sederhana yang berharga RM98000.00.

Memandangkan kewangan kami belum stabil dan baru lagi berumahtangga kami membuat keputusan membeli sahaja rumah yang sedikit murah .

Saya membuat pinjaman dari syarikat tempat saya bekerja . 10% bayaran pendahuluan saya membuat keluaran dari akaun kedua KWSP . Waktu itu RM4200.00 terasa besar jumlahnya .

Pemohonan pinjaman lambat diluluskan disebabkan saya lambat menghantar borang . Jadinya bayaran untuk proses kedua pembinaan rumah, kami yang kena bayarkan .Kalau menunggu pinjaman nanti bertambah pula kos yang perlu kami bayar  .


Berbanding sekarang kebanyakan perkhidmatan peguam untuk pembelian rumah ditawarkan percuma.Ketika saya membeli rumah tersebut saya dikenakan kos perkhidmatan peguam dikedua-dua belah iaitu peguam pemaju dan peguam pinjaman .
Saat itu seakan serik hendak membeli rumah jika tiada tunai . Pinjaman bukan menanggung semua kos pembelian, kita sebagai pembeli setidak-tidaknya perlukan sedikit simpanan untuk kos-kos lain .

Alhamdulillah sekarang rumah tersebut sudah menjadi milik kami .Pinjaman pun saya sudah selesaikan sebaik selepas saya berhenti kerja. Lucunya selepas kami bersusah payah, sekali pun kami tidak pernah tinggal disitu .Rumah kecil kami terbiar hampir 3 tahun sebelum kami sewakan.

Berakit-rakit ke hulu , berenang-renang ke tepian ,
Bersakit-sakit dahulu , bersenang-senang kemudian .